CLUB CONSTITUTION - The Serious Stuff


PERLEMBAGAAN
BERINGIN BIKERZ SPORTS AND RECREATIONAL CLUB
LEMBAH BERINGIN
DAERAH HULU SELANGOR
  
FASAL 1.      NAMA

Kelab ini dikenali sebagai Beringin Bikerz Sports and Recreational Club atau ringkasnya BBC di dalam Perlembagaan ini.

FASAL 2.      ALAMAT DAN TEMPAT URUSAN

                        2.1.     Alamat Berdaftar
Alamat berdaftar kelab ini ialah di d/a No 16 Jalan Kenari 25C/3, Kawasan Perumahan Lembah Beringin, 44100 Kuala Kubu Bharu, Selangor.

                        2.2.     Alamat Urusan
                                   Alamat urusan Kelab ini ialah di `sepertimana di atas’.

                        2.3.      Alamat berdaftar dan alamat urusan ini tidak boleh diubah tanpa  
                                    kelulusan Jawatankuasa Induk dan hanya boleh dikuatkuasakan setelah   
                                    mendapat kebenaran bertulis daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

FASAL 3.      DEFINISI

3.1.      KELAB ini bermakna badan sukan, kecergasan dan rekreasi yang dapat meningkatkan kefahaman dan pengetahuan ahli dan orang ramai ke arah aktiviti gaya hidup yang sihat dan sempurna, dan menjalankan aktiviti-aktiviti sejajar dengan objektif-objektif penubuhan Kelab.

3.2.      MESYUARAT AGUNG TAHUNAN bermakna mesyuarat yang wajib diadakan oleh Persatuan ini pada tiap-tiap tahun seperti yang disebutkan dalam fasal 12.2. perlembagaan ini.

3.3.    JAWATANKUASA INDUK bermakna Jawatankuasa Induk bagi Persatuan seperti yang disebutkan dalam fasa 15 Perlembagaan ini.

3.4.      JAWATANKUASA bermakna Jawatankuasa yang sah dibentuk atau dilantik di bawah Perlembagaan ini mengikut fasal 17.

3.5.      PEJABAT bermakna alamat urusan Kelab seperti yang ditetapkan dalam fasal 2 Perlembagaan ini.

3.6.      AHLI PERSATUAN bermakna ahli seperti yang disebutkan dalam fasal 6 Perlembagaan ini.

3.7.      PESURUHJAYA bermakna Pesuruhjaya Sukan yang dilantik di bawah seksyen 10 akta Pembangunan Sukan 1997.

FASAL 4.      OBJEKTIF DAN MATLAMAT

4.1.      Untuk memperkenal dan menaikkan nama Lembah Beringin sebagai satu destinasi Sukan Lasak dan Luaran di kawasan Hulu Selangor.

4.2.      Untuk berperanan sebagai satu platform dan pemangkin kepada aktiviti-aktiviti sihat bagi ahli-ahli dan penghuni-penghuni kawasan Lembah Beringin serta berperanan dalam pembentukkan dan pembangunan sahsiah para belia di Lembah Beringin. Juga berperanan untuk mengenalpasti serta mengenengahkan bakat serta potensi ahli di dalam bidang sukan yang disertai untuk penglibatan yang lebih tinggi.

4.3.      Untuk berperanan sebagai satu platform bagi aktiviti pengumpulan dana sebagai sumbangan Kelab kepada kegiatan amal badan-badan atau persatuan-persatuan amal yang terpilih.

4.4.      Untuk mewujud dan mengekalkan hubungan baik dan kedudukan baik dengan semua badan pengelola dan pengawal seliaan daerah, negeri dan kebangsaan.

4.5       Untuk memastikan bahawa Perlembagaan dan kaedah-kaedah Kelab dipatuhi dan diikuti oleh semua ahli.

4.6.      Untuk menjalankan aktiviti tanpa diskriminasi tentang jantina, ras, warna kulit, agama, asal-usul, bahasa, kecenderungan politik atau apa-apa pandangan lain yang dipegang oleh anggota.

4.7.      Untuk memastikan akaun teraudit sepenuhnya serta laporan tentang segala aktiviti, penggunaan dan perbelanjaan semua wangnya bagi tahun kewangan Kelab yang sebelumnya, dikemukakan kepada Pesuruhjaya Sukan berserta dengan apa-apa laporan lain yang dikehendaki oleh Pesuruhjaya Sukan.

4.8.      Untuk memastikan prosedur pemilihan bagi ahli sukan, pegawai, jurulatih dan mana-mana orang lain untuk mewakili Kelab dalam sukan yang disertai adalah terbuka dan adil.

                        4.9.      Untuk mewakili Kelab dalam mana-mana pertandingan sukan yang 
                                    disertai.

4.10.   Menjalankan sebarang kegiatan amal atau sebarang jenis perniagaan untuk tujuan menambah kewangan Kelab, asalkan tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

4.11.   Semua wang keuntungan yang didapati oleh Kelab daripada penyertaannya dalam mana-mana perniagaan atau pelaburan akan digunakan semata-mata untuk melanjurkan, memajukan dan menjalankan objektif dan matlamat Kelab ini.  Sungguhpun begitu, peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang dibuat dengan tujuan baik untuk membayar gaji atau perbelanjaan atau kedua-duanya kepada sebarang ahli atau pekerja Kelab ini.  Kelab juga boleh menubuhkan Badan Perniagaan dan boleh memiliki harta benda dengan syarat keuntungan hendaklah dimasukkan dalam Tabung Kewangan Kelab

FASAL 5.      LOGO / LAMBANG 

Logo / Lambang Kelab ini adalah gabungan diantara logo Kawasan Perumahan Lembah Beringin yang juga merupakan logo Persatuan Penduduk Lembah Beringin dengan lakaran ‘silhoutte’ bukit menaik serta ‘silhoutte’ seorang penunggang basikal MTB yang sedang mendaki ke puncak bukit. ‘Silhoutte’ bukit, disamping melambangkan keadaan geografi Lembah Beringin yang dikelilingi kawasan hutan/tanaman berbukit – yang merupakan satu aset unik kawasan ini, menjadikan ia satu lokasi yang berpotensi untuk sukan luaran dan lasak – juga melambangkan satu cabaran untuk diatasi dalam usaha memajukan diri dan masyarakat ke tahap yang lebih tinggi, sebagaimana digambarkan oleh usaha ‘silhoutte’ penunggang basikal MTB tersebut. Manakala logo Persatuan Penduduk Lembah Beringin yang seakan-akan bulan penuh purnama menyinari ‘cabaran’ dan ‘usaha mengatasi cabaran’ tersebut sebagai melambangkan usaha bersama masyarakat Lembah Beringin dalam usaha ‘memajukan diri dan masyarakat ke tahap yang lebih tinggitersebut. 

FASAL 6.      KEAHLIAN

Keahlian Persatuan ini terbuka kepada Warganegara Malaysia dan terbahagi kepada tiga (3) kategori seperti berikut :

                        6.1.     Ahli Biasa
Individu-individu yang berumur lapan belas (18) tahun ke atas dan telah diterima keahliannya oleh Jawatankuasa Induk dan boleh mengundi serta diundi.

                        6.2.     Ahli Kehormat
Individu-individu yang pernah berjasa kepada Kelab atau individu-individu yang boleh memberi sumbangan kepada  Kelab yang dilantik oleh Jawatankuasa Induk.

                        6.3.     Ahli Remaja
Individu-individu yang berumur lapan belas (18) tahun ke bawah dan mesti mendapat kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga serta diluluskan oleh Jawatankuasa Induk. 

FASAL 7.      YURAN KEAHLIAN 

7.1.      Setiap ahli baru hendaklah membayar yuran pendaftaran dan tahunan kepada Kelab seperti berikut :-

Bil.
Jenis Ahli
Yuran Pendaftaran
Yuran Tahunan
1.
Ahli Biasa
RM50.00
Tiada
2.
Ahli Kehormat
Tiada
Tiada
3.
Ahli Remaja
RM50.00
Tiada

FASAL 8.      PERMOHONAN UNTUK MENJADI AHLI

Semua permohonan untuk menjadi ahli hendaklah dibuat secara bertulis dengan mengisi borang dan dikemukakan kepada Setiausaha. Jawatankuasa Induk boleh meluluskan atau menolak sebarang permohonan tanpa memberi alasan. 

FASAL 9.      KEISTIMEWAAN DAN HAK AHLI 

9.1.      Tiap-tiap Ahli Kelab dibenarkan menyertai dalam segala kegiatan yang dianjurkan oleh persatuan ini.

9.2.      Setiap Ahli Kelab berhak menerima dengan percuma satu salinan Perlembagaan Persatuan sekali sahaja semasa pendaftaran.

FASAL 10.    HAK MENGUNDI DALAM MESYUARAT AGUNG TAHUNAN

                        10.1.   Ahli Biasa
Semua Ahli Biasa berhak untuk menghadiri mesyuarat Agung Tahunan dan boleh mengundi dan diundi dalam mesyuarat tersebut.

                        10.2.   Ahli Kehormat
Semua Ahli Kehormat boleh menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan tetapi tidak boleh mengundi dan diundi dalam mesyuarat tersebut.

                        10.3.   Ahli Remaja
Semua Ahli Remaja berhak untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan dan boleh mengundi dan diundi dalam mesyuarat tersebut. 

FASAL 11.    PEMBERITAHUAN DAN PEMECATAN AHLI 

11.1.   Mana-mana ahli Kelab yang membuat permohonan bertulis untuk berhenti menjadi ahli dan permohonannya itu diluluskan oleh Jawatankuasa Induk adalah dianggap sebagai telah berhenti menjadi ahli Kelab.

11.2.   Setiap ahli Kelab yang didapati menjalankan sesuatu kegiatan yang bertentangan dengan Perlembagaan Kelab bolehlah dipecat atau digantung keahliannya bagi sesuatu tempoh masa sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa Tatatertib.  Sebelum tindakan sedemikian diambil, ahli itu hendaklah diberikan surat tunjuk sebab.  Ahli berkenaan hendaklah diberi peluang untuk membela diri.  Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah berkuatkuasa dari tarikh yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tatatertib.  Ahli yang berkenaan boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Induk dalam tempoh masa empat belas (14) hari dari tarikh keputusan jawatankuasa Tatatertib.  Jawatankuasa Induk mempunyai kuasa sama ada untuk menerima, menolak atau membuat apa-apa keputusan yang lain berhubung dengan rayuan tersebut dan keputusan Jawatankuasa Induk adalah muktamad. 

FASAL 12.    MESYUARAT AGUNG TAHUNAN 

12.1.   Mesyuarat Agung Tahunan adalah badan yang tertinggi dan menyeluruh bagi Kelab berdasarkan kepada objektif dan matlamatnya.
                       
12.2.   Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah diadakan tidak lewat dari tarikh 30 September tiap-tiap tahun pada tarikh dan tempat yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk.  Sekurang-kurangnya dua puluh satu (21) hari notis, hendaklah diberikan secara bertulis oleh Setiausaha kepada semua ahli persatuan.  Notis itu hendaklah disertakan dengan agenda mesyuarat bersama-sama dengan semua salinan dokumen yang dinyatakan dalam agenda tersebut.

12.3.   Korum Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihadiri oleh tidak kurang satu pertiga (1/3) daripada bilangan keahlian yang layak mengundi.  Sekiranya korum tidak mencukupi selepas satu (1) jam dari masa yang ditetapkan, maka mesyuarat itu hendaklah ditunda kepada tarikh baru dalam tempoh tiga puluh (30) hari.  Sekiranya korum masih lagi tidak mencukupi pada tarikh baru mesyuarat itu, maka ahli-ahli yang hadir bolehlah meneruskan mesyuarat seperti yang telah ditetapkan.

12.4.   Setiausaha hendaklah menghantar kepada semua ahli dan Pesuruhjaya Sukan salinan Penyata Tahunan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dalam tempoh tiga puluh (30) hari setelah selesainya mesyuaratnya itu. 

FASAL 13.    TUGAS AGUNG TAHUNAN 

                        13.1.   AGENDA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN

Mesyuarat Agung Tahunan mestilah mengandungi antara lain agenda-agenda berikut :-

i.              Menerima dan mengesahkan minit Mesyuarat Agung Tahunan yang lepas;
ii.            Menerima dan meluluskan Laporan Jawatankuasa berkenaan kegiatan Kelab dalam sepanjang tahun yang lalu;
iii.           Menerima dan meluluskan laporan Bendahari dan Penyata Kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;
iv.           Menguruskan hal-hal lain yang dibentangkan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan; dan
v.            Memilih Jawatankuasa Induk yang baru mengikut fasal 15.1. perlembagaan ini dan melantik dua (2) orang juruaudit mengikut fasal 21.1. Perlembagaan ini setiap dua (2) tahun sekali. 

FASAL 14.    MESYUARAT AGUNG KHAS 

                        14.1.   Mesyuarat Agung Khas bagi Kelab ini boleh diadakan:

i.              bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa Induk atau dengan kehendak Presiden; atau

ii.         atas permintaan secara bertulis oleh tidak kurang daripada separuh (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan-tujuan dan sebabnya-sebabnya.

14.2.   Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat.

14.3.   Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan kepada semua ahli-ahli oleh Setiausaha sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk bermesyuarat.

14.4.   Korum Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi mesyuarat itu, maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan, dan sekurang-kurangnya enam (6) bulan daripada tarikh ini Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidak boleh diadakan. 

FASAL 15.    JAWATANKUASA INDUK

                        15.1.   Jawatankuasa Induk persatuan hendaklah terdiri daripada:

i.              seorang (1) Presiden;
ii.            seorang (1) Timbalan Presiden;
iii.           lima (5) orang Ahli Jawatankuasa.

15.2.   Setiausaha, Penolong Setiausaha dan Bendahari adalah dilantik oleh Pengerusi dengan persetujuan Jawatankuasa Induk dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Induk selepas Mesyuarat Agung Tahunan tetapi ketiga-ketiga mereka tidak mempunyai hak mengundi dan diundi.

15.3.   Wakil-wakil dari Kerajaan (Ex-Officio) bolehlah dilantik menganggotai Jawatankuasa Induk ini.  Jawatankuasa Induk ini hendaklah mendapatkan surat persetujuan ahli Ex-Officio yang dilantik tersebut.

15.4.   Pemegang-pemegang jawatan dalam Jawatankuasa Induk dan dalam Jawatankuasa-Jawatankuasa yang lain hendaklah :-

i.              berumur dua belas (12) tahun ke atas;
ii.            bukan seorang yang muflis;
iii.           tidak pernah dikenakan tindakan disiplin oleh mana-mana badan sukan dalam tempoh lima (5) tahun yang lalu;
iv.           tidak disabitkan kesalahan jenayah dalam tempoh lima (5) tahun yang lalu; dan
v.            sempurna akal.

15.5.   Mana-mana pemegang jawatan yang didakwa di mahkamah atas pertuduhan jenayah hendaklah meletakkan jawatannya serta-merta. 

FASAL 16.    TUGAS-TUGAS JAWATANKUASA INDUK 

                        16.1.   Melantik Pengerusi Jawatankuasa-Jawatankuasa.

16.2.   Menguatkuasakan dasar-dasar dan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan atau Khas.

16.3.   Mengurus dan mentadbir Kelab dan menjalankan program-program Kelab.

16.4.   Mengkaji dan meluluskan perbelanjaan pentadbiran dan program-program yang diluluskan.

16.5.   Meluluskan peraturan-peraturan baru atau yang dipinda untuk di bahas dalam Mesyuarat Agung Tahunan atau Khas.

16.6.   Menimbang rayuan keputusan Jawatankuasa Tatatertib bagi ahli-ahli Kelab.

16.7.   Membuat lantikan dan pemecatan kakitangan pengurusan yang bergaji.

                        16.8.   Menimbang permohonan menjadi ahli persatuan. 

FASAL 17.    JAWATANKUASA-JAWATANKUASA 

17.1.     Jawatankuasa Kewangan;
17.2.     Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan;
17.3.     Jawatankuasa Teknikal;
17.4.     Jawatankuasa Pemilihan;
17.5.     Jawatankuasa Pertandingan; dan
17.6.     Jawatankuasa Tatatertib. 

FASAL 18.    TUGAS AHLI JAWATANKUASA INDUK 

18.1.   Presiden

                                   Presiden dalam masa jawatannya hendaklah menjadi pengerusi dalam   
                                   semua mesyuarat Jawatankuasa Induk dan bertanggungjawab atas 
                                   kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat serta disiplin ahli-ahlinya.                       

18.2.   Timbalan Presiden

Timbalan Presiden hendaklah membantu Presiden melaksanakan tanggungjawab menguruskan pentadbiran Kelab.  Dia hendaklah memangku dan melaksanakan tanggungjawab Presiden semasa ketiadaan Presiden.

                        18.3.   Setiausaha

Setiausaha bertanggungjawab dalam segala urusan pentadbiran persatuan mengikut Perlembagaan dan arahan-arahan Jawatankuasa Induk.  Beliau juga bertanggungjawab mengenai urusan surat-menyurat dan menyimpan buku daftar ahli yang sah.  Dia hendaklah hadir dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat.  Setiausaha hendaklah di dalam tempoh tiga puluh (30) hari selepas tarikh Mesyuarat Agung Tahunan menghantar penyata-penyata tahunan serta dokumen-dokumen yang perlu kepada pesuruhjaya Sukan Malaysia sebagaimana yang dikehendaki di bawa Akta Pembangunan sukan 1997.

                        18.4.   Bendahari

Bendahari hendaklah membuat kutipan yuran pendaftaran dan keahlian, menyimpan semua rekod dan buku kira-kira.  Beliau juga bertanggungjawab untuk memastikan ketepatan butiran di dalam semua rekod dan buku kira-kira.

                        18.5.   Ahli Jawatankuasa

Ahli Jawatankuasa hendaklah mempengerusikan Jawatankuasa-Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah fasal 17 dan menjalankan tugas seperti yang diarahkan oleh Pengerusi.

                                   18.6.1.            Tugas Pengerusi Jawatankuasa-Jawatankuasa

                                                           i.          Jawatankuasa Kewangan

Pengerusi Jawatankuasa ini hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan melantik ahli jawatankuasanya.Tugas utama Jawatankuasa ini ialah untuk mencari sumber pendapatan persatuan seperti tajaan, bantuan dari kerajaan, derma dan cara-cara lain yang sah dari segi undang-undang Kelab dan undang-undang negara.

ii.         Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan

Pengerusi Jawatankuasa ini hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan dan melantik ahli jawatankuasanya. Tugas utama Jawatankuasa ini ialah untuk menganjurkan program-program pembangunan dan latihan serta termasuk pembangunan pegawai dan jurulatih.

                                                           iii.        Jawatankuasa Teknikal

Pengerusi Jawatankuasa ini hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat jawatankuasa teknikal dan melantik ahli jawatankuasanya.  Tugas utama jawatankuasa ini ialah untuk menyemak, menyelaras dan menguatkuasakan kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan sukan.

                                               iv.        Jawatankuasa Pemilihan

Pengerusi Jawatankuasa ini hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan dan melantik ahli jawatankuasanya.  Tugas utama Jawatankuasa ini ialah untuk mengenalpasti pemain-pemain untuk diperakukan kepada Jawatankuasa Induk bagi mewakili persatuan untuk sukan yang disertai dalam mana-mana pertandingan.

                                                           v.         Jawatankuasa Pertandingan

Pengerusi Jawatankuasa ini hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan dan melantik ahli jawatankuasanya.  Tugas utama Jawatankuasa ini ialah mengelolakan pertandingan-pertandingan di peringkat Kelab.

                                                           vi.        Jawatankuasa Tatatertib

Pengerusi Jawatankuasa ini hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib dan melantik ahli jawatankuasanya.  Tugas utama Jawatankuasa ini ialah untuk memutuskan kes-kes berhubung salah laku ahli dan menjatuhkan hukuman terhadap ahli berkenaan.


FASAL 19.    MESYUARAT JAWATANKUASA INDUK


19.1.   Jawatankuasa Induk hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali di dalam masa tiga (3) bulan.  Notis bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli tujuh (7) hari terlebih dahulu.  Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada empat (4) orang Ahli Jawatankuasa Induk boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Induk pada bila-bila masa.

19.2.   Sekurang-kurangnya lima (5) orang daripada Ahli Jawatankuasa Induk hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat. 

FASAL 20.    KEWANGAN


                        20.1.   Sumber kewangan persatuan boleh diperolehi melalui :-

i.              yuran pendaftaran dan yuran tahunan ahli;
ii.            derma dan tajaan;
iii.           bantuan dari kerajaan atau badan-badan berkanun;
iv.           hasil-hasil perniagaan Kelab; dan
v.            sumber-sumber lain yang dibenarkan oleh undang-undang negara.

20.2.   Pendapatan Kelab yang diperolehi hendaklah digunakan bagi tujuan mencapai objektif dan matlamat Kelab dan ahli-ahlinya seperti yang disebut dalam Perlembagaan ini.

20.3.   Semua cek persatuan hendaklah ditandatangani oleh Bendahari dan Presiden atau Setiausaha.

20.4.   Perbelanjaan yang kurang daripada RM1000.00 bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Bendahari bersama Presiden atau Setiausaha.

20.5.   Perbelanjaan yang lebih daripada RM1000.00 bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar tanpa kelulusan Jawatankuasa Induk.

20.6.   Bendahari boleh menyimpan wang runcit tunai tidak melebihi daripada RM1000.00 dalam sesuatu masa.  Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam akaun Kelab.

                        20.7.   Penyata wang yang diterima dan dibelanjakan berserta Lembaran 
                                    Imbangan bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan 
                                    diperiksa oleh Juruaudit mengikut Perlembagaan dengan seberapa 
                                    segera setelah tamat tahun kewangan.  Penyata kira-kira yang diaudit 
                                    hendaklah dikemukakan untuk kelulusan mesyuarat Agung Tahunan 
                                    yang berikutnya dan salinannya hendaklah diedarkan untuk makluman 
                                    ahli-ahli Kelab.

20.7.   Tahun kewangan Kelab ini ialah dari 1 Julai hingga 30 Jun pada tiap-tiap tahun. 

FASAL 21.    JURUAUDIT 

21.1.   Dua (2) orang yang bukan menjadi Ahli Jawatankuasa Induk boleh dilantik semasa Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Juruaudit.  Mereka akan memegang jawatan selama dua (2) tahun dan boleh dilantik semula.  Tugas Juruaudit ialah membuat pemeriksaan terhadap penyata kewangan dan membuat laporan dan pengesahan penyata-penyata yang berkaitan dengan kewangan.

21.2.   Mesyuarat Agung Tahunan boleh juga melantik Firma Audit yang bertauliah bagi menjalankan kerja-kerja audit Kelab sekiranya perlu. 

FASAL 22.    TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

Jawatankuasa Induk boleh memberikan tafsirannya kepada Perlembagaan ini.  Jawatankuasa Induk boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam Perlembagaan ini sekiranya mustahak. 

FASAL 23.    PERTIKAIAN DALAMAN

Adalah menjadi tugas Jawatankuasa Induk Persatuan untuk menyelesaikan apa-apa pertikaian yang timbul di kalangan ahli-ahli Kelab mengikut prosedur atau peraturan atau kaedah dalaman Kelab. 

FASAL 24.    PENAUNG / PENASIHAT

24.1.   Jawatankuasa Induk Kelab boleh juga melantik orang-orang yang layak menjadi penaung atau penasihat bagi Kelab ini, sekiranya perlu.

24.2.   Penaung atau Penasihat tidak mempunyai kuasa untuk mengundi dan membuat keputusan bagi pihak Kelab. 

FASAL 25.    PINDAAN PERLEMBAGAAN

25.1.   Perlembagaan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Khas.

25.2.   Permohonan untuk perubahan-perubahan atau pindaan kepada Perlembagaan hendaklah dibuat kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia dalam tiga puluh (30) hari dari tarikh keputusan mesyuarat yang memutuskan perihal perubahan atau pindaan tersebut.  Perubahan atau pindaan kepada Perlembagaan ini tidak boleh dikuatkuasakan selagi tidak mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia. 

FASAL 26.    LARANGAN

26.1    Segala bentuk perjudian dan aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan Undang-undang Malaysia adalah dilarang dilakukan dalam mana-mana premis Kelab.

26.2.   Kelab tidak boleh mencuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti yang diterangkan ke dalam Ordinan Kesatuan Sekerja 1959.

26.3.   Kelab ini tidak boleh menjalankan aktiviti loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli Kelab atau tidak, atas nama Kelab atau pemegang-pemegang jawatan tanpa kelulusan daripada Mesyuarat Agung Tahunan dan pihak berkuasa.

26.4.   Kelab tidak boleh terlibat dalam mana-mana kegiatan politik atau parti politik, atau bergabung atau mengadakan hubungan dengan apa jua parti politik dan menggunakan nama Kelab dalam apa jua isu-isu politik. 

FASAL 27.    PEMBUBARAN

27.1.   Kelab ini boleh dibubarkan dalam Mesyuarat Agung Khas dengan keputusan majoriti oleh dua pertiga (2/3) daripada ahli Persatuan.

27.2.   Sekiranya Kelab ini hendak dibubarkan secara yang disebut di atas, maka segala hutang dan tanggungan Kelab yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang atau harta benda (aset) yang tinggal hendaklah diserahkan kepada Pemegang Amanah Raya Malaysia.

27.3.   Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia di dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh pembubaran itu. 

25hb MEI 2011